
KUALA LUMPUR: Institusi perbankan dan kewangan di negara ini digesa untuk menghentikan sikap terlalu mengejar keuntungan semata-mata dengan terlalu mudah keluarkan pinjaman, sebaliknya kembali memainkan peranan aktif dalam mendidik masyarakat mengenai pengurusan wang yang berhemah.
Aktivis Kanan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Zhariff Nadzim, mendedahkan bahawa kebanjiran pelbagai kemudahan kredit mudah dan pembiayaan gaya hidup kini dilihat melampaui batas sehingga menjadi punca utama ramai pengguna terperangkap dalam lambakan hutang.
Menurut beliau, fokus industri perbankan hari ini telah tersasar jauh daripada tanggungjawab sosial apabila meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang agresif untuk menggalakkan orang ramai berbelanja, bukannya menyimpan wang.
Tiada lagi bank pupuk amalan menabung
Zhariff berkata, senario industri kewangan hari ini amat berbeza dengan era terdahulu yang rancak memupuk pengguna dengan amalan berjimat cermat.
"Kalau dulu kita kerap mendengar kempen daripada bank yang mengajak masyarakat menabung, menabung, menabung, hari ini perkara itu sudah tiada lagi.
Fokus bank sekarang adalah mendesak orang ramai untuk melabur dalam portfolio mereka dan menawarkan kad kredit di sana sini bagi menggalakkan perbelanjaan mewah," katanya kepada BH ketika dihubungi.
Ketiadaan bimbingan ini akhirnya membawa kerosakan yang lebih besar apabila ramai pengguna yang terdesak terpaksa beralih kepada sindiket pinjaman haram (along) semata-mata untuk melunaskan tunggakan hutang mereka dengan bank.
Taktik pemasaran BNPL
Beliau turut menarik perhatian mengenai taktik pemasaran institusi kewangan masa kini, termasuk skim Buy Now Pay Later (BNPL) atau 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian'.
Skim ini disifatkan sebagai satu perangkap halus yang mengumpan pengguna dengan tawaran harga lebih murah jika mereka memilih untuk berhutang.
Zharif berkata, taktik penawaran licik seperti pembelian barangan bernilai RM1,000 sebagai contoh, boleh dikurangkan menjadi RM900 dengan baki RM100 disubsidi sekiranya pengguna menggunakan aplikasi BNPL.
"Walaupun kelihatan menguntungkan, hanya sebahagian kecil pengguna yang mampu membayarnya semula, manakala sebahagian lagi akhirnya tersangkut dalam masalah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) yang mengenakan caj lebih tinggi.
"Sistem kewangan ini tidak fokus untuk memberi penyelesaian, sebaliknya menjadikan pengguna sebagai 'hamba'. Mereka mengaut keuntungan daripada kesengsaraan hidup masyarakat yang gagal membayar hutang," tegas beliau lagi.
Sehubungan itu, PPIM mendesak institusi kewangan serta pihak kerajaan untuk menilai semula ekosistem perbankan negara.
Pihak bank dituntut untuk memulakan langkah mendidik masyarakat bermula dari peringkat sekolah bagi mengajar kaedah pengurusan kewangan yang betul.
Masalah kebanjiran mangsa along diyakini tidak akan berlaku sekiranya institusi kewangan bertindak adil dan tidak bersikap 100 peratus berlandaskan keuntungan dalam menawarkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.
Artikel oleh: Berita Harian
MUDAH SANGAT DAPAT PINJAMAN PUNCA RAMAI TERJERAT BEBAN HUTANG