
Kerana terpengaruh dua tahun tak perlu membayar bil telefon–yang nilaikan dikatakan mencecah RM6,000–seorang warga emas akhirnya terjebak menjadi mangsa penipuan.
Bukan saja hilang puluhan ribu ringgit, ia juga malah mengganggu kesihatannya.
“Asalnya saya tak ada sakit jantung, tapi disebabkan kes ini, (saya) dah mula ada sakit jantung,” kata Suhaimi Shuib, 68, dengan sayu.
Dalam kejadian pada Disember tahun lalu, Suhaimi kerugian RM21,000 setelah ditipu oleh sebuah kedai telefon yang mencuri kad bank dan kad kreditnya serta mendaftarkan 10 nombor telefon senyap-senyap atas namanya.
Pemeriksaan mendapati terdapat tujuh transaksi pengeluaran tunai kad kredit berjumlah RM10,000 dan lapan kali pengeluaran melalui kad debit mencecah RM11,000 dibuat tanpa kebenaran.
Suhaimi mengesyaki kedai menyalahgunakan salinan kad pengenalan yang diberikannya bagi tujuan pendaftaran dua nombor telefon.
Kedai itu juga menggunakan taktik licik dengan tablet percuma sebagai umpan, kononnya sebagai hadiah cabutan bertuah, untuk mengaburi matanya.
Susulan insiden itu, Suhaimi mengakui berdepan tekanan emosi sehingga mengalami gangguan tidur dan masalah kesihatan.
“(Saya) sukar tidur malam, susah hati fikir pasal kes ini," katanya.
Bebannya bertambah apabila terpaksa melunaskan bayaran tuntutan kepada pihak bank meskipun kesemua transaksi pengeluaran wang itu dilakukan di luar pengetahuannya.
Tiga laporan polis dibuat di ibu pejabat daerah (IPD) Ampang dan Dang Wangi, Kuala Lumpur.
Suhaimi berkongsi kisah sedihnya itu dalam sidang media bersama seorang lagi mangsa penipuan serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kuala Lumpur semalam.
Kerugian hampir RM3 bilion
Sementara itu, PPIM mendedahkan jumlah kerugian akibat penipuan menunjukkan pertambahan saban tahun, dari RM1.28 bilion pada 2023 kepada RM1.57 (2024) dan RM2.77 bilion (2025).
Justeru, kata pengerusinya Nadzim Johan, orang ramai perlu lebih berhati-hati ketika menyerahkan dokumen peribadi, melakukan transaksi atas talian dan berurusan dengan individu tidak dikenali.
Dia juga menggesa kerajaan memperkukuh pencegahan awal, bukan menumpukan tindakan selepas jenayah berlaku kerana kesannya besar kepada mangsa.

Dalam kes Suhaimi, Nadzim mengingatkan bahawa penipuan berlaku membebankan kewangannya, lebih-lebih lagi sebagai pesakit serius.
“Harga rawatan sakit jantung ini berapa ringgit? RM10? RM100?
“Ini baru seorang saja mangsa," kata Nadzim.
Menurutnya, antara aduan utama yang diterima PPIM melibatkan kebocoran data peribadi, penyamaran identiti, penggunaan akaun pihak ketiga dan pendaftaran kad sim tanpa kebenaran pengguna.
Pada tahun 2025 saja, PPIM menerima lebih 4,000 aduan.
PPIM turut mencadangkan kerjasama lebih rapat antara syarikat telekomunikasi, institusi perbankan dan pihak berkuasa selain penggunaan teknologi sekatan masa nyata bagi membendung aktiviti penipuan sebelum mangsa mengalami kerugian.
Jam RM70,000 lesap, ‘floating’ hilang
Sementara itu, seorang usahawan muda juga turut tampil berkongsi pengalamannya menjadi mangsa penipuan yang menyebabkannya rugi lebih RM70,000.
Muhammad Mirzan Johor, 28, yang menjalankan perniagaan barangan mewah terpakai seperti jam tangan dan beg tangan berkata, kejadian berlaku pada Februari tahun lalu apabila seorang individu menyatakan minat membeli seutas jam tangan mewah.

Mirzan Johor
Pada hari urusan jual beli berlangsung, ‘pembeli’ bagaimanapun menggunakan khidmat penghantar barang–yang didakwa sebagai kakitangannya–untuk mengambil jam tangan itu.
“Ketika transaksi dibuat, wang RM74,000 memang kelihatan masuk ke akaun bank saya.
“Memang tertera di dalam kenyataan bank itu,” katanya
Bagaimanapun, keesokan harinya dia mendapati wang itu hanya “floating” dan tidak lagi dipaparkan.
Pembeli kemudian tidak dapat lagi dihubungi, kata Mirzan.
Sementara itu, PPIM mengingatkan orang ramai supaya sentiasa membuat semakan terus dengan bank sekiranya menerima transaksi mencurigakan atau pembayaran yang masih berstatus “floating”.
“Ini antara benda yang paling bodoh yang kita gagal tangani.
“Perkara ini akan (boleh) terjadi pada semua,” kata Nadzim.
Artikel oleh: MalaysiaKini
SAMPAI SAKIT JANTUNG PAK CIK SUHAIMI KENA 'SCAM'