
KUALA LUMPUR: Seorang pesara mendakwa kehidupannya terjejas selepas kerugian puluhan ribu ringgit apabila kad bank dan maklumat peribadinya disalah guna selepas membeli telefon bimbit di sebuah kedai di Kotaraya, Disember lalu.
Mangsa, Suhaimi Shuib, 68, berkata, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan wang simpanannya lesap, malah identitinya turut digunakan untuk mendaftarkan beberapa talian telefon tanpa pengetahuan.
“Saya ke kedai berkenaan untuk membeli telefon bimbit Honor sebelum diminta menyerahkan kad pengenalan bagi urusan pendaftaran dan diarahkan mengeluarkan wang tunai kira-kira RM3,000 bagi bayaran peranti tersebut,” katanya dalam sidang akhbar bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berhubung isu kebocoran data, penipuan digital dan sistem telekomunikasi, di sini semalam.
Suhaimi berkata, dua hari kemudian, beliau menerima panggilan memaklumkan kononnya memenangi tablet percuma dan diminta datang semula ke kawasan sama, sebelum menyedari kad banknya hilang pada malam kejadian.
“Malam itu saya baru sedar kad sudah tiada selepas menerima notifikasi daripada bank mengenai pengeluaran wang.
“Yang saya hairan, kenapa bank tidak hentikan sedangkan pengeluaran dibuat banyak kali dan saya tidak pernah buat cash on credit sebelum ini,” katanya.
Katanya, kerugian itu menyebabkan beliau tertekan sehingga sukar tidur dan mengalami masalah kesihatan, selain terpaksa membayar semula jumlah tertentu kepada bank walaupun transaksi tersebut dibuat tanpa pengetahuannya.
Beliau turut berkata keseluruhan kuota 18 nombor telefon atas namanya telah digunakan tanpa pengetahuan, namun hanya enam talian didaftarkan secara sah, manakala baki 12 lagi dipercayai menggunakan identitinya secara tidak sah.
Sementara itu, ahli perniagaan, Muhammad Mirzan Johor, 28, berkata, ancaman scam digital kini semakin sukar dikesan kerana sindiket berani menggunakan identiti orang lain untuk mengaburi siasatan.
Katanya, beliau sendiri pernah hampir menjadi mangsa sindiket yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kononnya mahu membuat tempahan lembu korban sebelum meminta bayaran hampir RM80,000 bagi pembelian cenderamata berupa keris melalui sebuah kedai hadiah.
“Helah itu hanya dikesan selepas suspek mendesak bayaran dibuat segera, selain nombor telefon yang digunakan bukan milik pegawai sebenar walaupun nama, jawatan dan maklumat individu berkenaan wujud dalam carian rasmi,” katanya.
Muhammad Mirzan berkata, pernah kerugian RM74,000 selepas menyerahkan jam mewah kepada pembeli yang menggunakan slip bayaran cek terapung, apabila paparan akaun menunjukkan wang seolah-olah sudah masuk sebelum jumlah itu ditarik semula selepas cek tidak dijelaskan.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kes menimpa Suhaimi dan Mirzan membuktikan scam telefon dan penipuan digital bukan lagi kes terpencil, sebaliknya ancaman serius terhadap keselamatan data, kewangan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, trend kerugian rakyat akibat scam menunjukkan peningkatan ketara daripada RM1.28 bilion pada 2023 kepada RM1.57 bilion pada 2024 sebelum melonjak kepada RM2.77 bilion pada 2025.
“Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia sudah menjadi penipuan berterusan yang mesti dihentikan,” katanya.
Nadzim berkata, PPIM mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM), institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi bergerak bersama bagi mengesan corak penipuan lebih awal serta menyekat transaksi mencurigakan secara masa nyata.
“Syarikat telekomunikasi perlu dikenakan penalti maksimum sekiranya gagal memastikan pendaftaran talian dibuat secara sah, selain menyediakan mekanisme pampasan kepada mangsa yang terkesan akibat kecuaian sistem,” katanya. – UTUSAN
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PESARA RUGI PULUHAN RIBU, DATA DISALAH GUNA DAFTAR TALIAN
https://www.utusan.com.my/nasional/2026/05/pesara-rugi-puluhan-ribu-data-disalah-guna-daftar-talian/