01 Apr
01Apr

Subang Jaya: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menggesa pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang bakal dikuatkuasakan esok ditangguhkan oleh kerajaan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, penangguhan terhadap pelaksanaan Akta 872 ini perlu dibuat sehinggalah perbincangan dijalankan antara pihaknya dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Menurutnya, ini disebabkan sebelum akta ini dibawa ke Parlimen, MTUC telah menyatakan ketidaksetujuan, selain tiadanya perbincangan membabitkan pihaknya dan kerajaan berkait perkara berkenaan.

"Sebelum ini akta yang berkait dengan pekerja dan kebajikan pekerja ada melalui proses perbincangan dengan MTUC. Tetapi untuk akta ini, tidak ada perbincangan.

"Bila tidak ada perbincangan, kita pun tak tahu apa tujuan sebenarnya akta ini dibuat. MTUC telah memutuskan untuk menghantar surat kepada KESUMA menyatakan bahawa akta ini perlu ditangguhkan," katanya pada sidang media khas di Wisma MTUC di sini, hari ini.

Kamarul Baharin berkata, sekiranya kerajaan tetap melaksanakan akta ini, ia dikhuatiri akan menyakiti hati pekerja gig yang ada di Malaysia.

Tambahnya, sekiranya ia tidak ditangguhkan, MTUC akan membawa perkara ini ke persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa di Geneva yang bakal berlangsung 1 Jun ini.

"Kalau kerajaan tidak mendengar pendirian dan rayuan kita, mungkin MTUC akan bawa perkara ini ke Pertubuhan Buruh Antarabangsa. Apa pun kita masih lagi berharap kerajaan melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kira keresahan pekerja gig pada hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Abdul Hakim Abdul Rani mempersoalkan definisi pekerja di dalam Akta 872 yang diluluskan di Parlimen itu.

"Kita lihat dalam isu definisi pekerja gig ini ada memberi pengiktirafan kepada warganegara Malaysia dan pemastautin tetap. Ini antara salah satu perkara yang kami kira kritikal perlu pihak KESUMA perhalusi semula.

"Ini disebabkan kalau kita lihat dalam ekonomi gig, kita bergantung juga kepada permintaan dan penawaran. Apabila memberi pengiktirafan kepada pemastautin tetap, secara automatiknya akan berlakunya lambakan pemandu dan penghantar.

"Apabila berlakunya lambakan pemandu dan penghantar, kita merasakan akan ada ketidakstabilan kepada konsep permintaan dan penawaran yang akhirnya menyebabkan pendapatan rakan pemandu dan penghantar terjejas," katanya.

Selain itu katanya, tafsiran definisi pekerja gig berkait pemastautin tetap juga menyebabkan berlakunya pertindihan bidang kuasa di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 hanya memberi kebenaran kepada warganegara Malaysia untuk berkecimpung di dalam sektor e-hailing dan p-hailing sebagai rakan pemandu dan rakan penghantar.

"Bagaimanapun apabila Akta 872 ini memberi pengiktirafan kepada pemastautin tetap, akan berlakunya pertindihan akta dan menyebabkan masalah di kemudian hari seperti daripada segi penguatkuasaan," katanya.

Pada 28 Ogos tahun lalu, sektor ekonomi gig melakar sejarah baharu apabila Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, selepas tujuh tahun penggubalannya dilaksanakan.

RUU ini membolehkan lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini mendapat hak berunding gaji dan syarat kerja itu meraih sokongan majoriti Ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Artikel oleh: Harian Metro

MTUC, NGO GESA TANGGUH PELAKSANAAN AKTA PEKERJA GIG 2025

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/03/1339367/mtuc-ngo-gesa-tangguh-pelaksanaan-akta-pekerja-gig-2025?fbclid=IwY2xjawQ4RnBleHRuA2FlbQIxMABicmlkETF4Z2xYeWVQYXhlS0tnMlpOc3J0YwZhcHBfaWQQMjIyMDM5MTc4ODIwMDg5MgABHkAvbd1YdR4gji5wHfuK6tJRVKjWG6PldMBbB4oL6-ojidlBJGK7bX1cax6J_aem_TW9QL3M2gsuI1gY8OLH4Jw

Comments
* The email will not be published on the website.