01 Apr
01Apr

SUBANG JAYA – Sebanyak 11 gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pekerja dan pengguna menggesa Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig yang dijadual dikuatkuasakan esok ditangguhkan serta-merta sehingga satu kajian menyeluruh dimuktamadkan dan perbincangan bersama pihak berkepentingan dilaksanakan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pelaksanaan RUU tersebut kerana didakwa tidak melalui proses rundingan yang adil antara MTUC dan kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).

Menurut beliau, kebanyakan undang-undang berkaitan kebajikan pekerja sebelum ini lazimnya dibincangkan secara teliti bersama MTUC sebelum dibentangkan ke Parlimen, namun perkara itu tidak berlaku bagi RUU berkenaan.

“MTUC tidak setuju RUU Gig ini dilaksanakan kerana tiada perbincangan antara MTUC dan kerajaan. Kita lihat undang-undang ini agak pelik kerana prosesnya terus dibawa ke Parlimen tanpa perbincangan yang baik dan adil,” katanya pada sidang media di Wisma MTUC, di sini, hari ini.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor bercakap kepada media mengenai Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di Wisma MTUC, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 MAC 2026.

Dalam sidang media sama, sebanyak 10 lagi NGO turut menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan RUU tersebut.

Antara yang terlibat ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead Malaysia) dan Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH).

Turut serta ialah Pertubuhan Tenaga GiG Melaka, Persatuan Ekonomi Digital Melaka (EDiM), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) serta Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP).

Gabungan NGO berkenaan menegaskan keperluan dialog inklusif antara kerajaan dan pihak industri bagi memastikan sebarang undang-undang yang diperkenalkan benar-benar melindungi kebajikan pekerja gig tanpa menjejaskan kelangsungan sektor tersebut.

Pekerja e-hailing yang hadir pada sidang media mengenai Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di Wisma MTUC, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 30 MAC 2026.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pihaknya sebelum ini telah menyuarakan ketidaksetujuan kepada Kesuma berhubung RUU tersebut.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan RUU tersebut bagi memastikan ia benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, peningkatan premium insurans komersial dalam sektor e-hailing memberi tekanan besar kepada pendapatan pekerja gig.

“Ia bukan sekadar isu kos operasi, tetapi tekanan struktur yang menghakis margin pendapatan pekerja. Jika berlaku kenaikan, perlu ada ketelusan dari segi data dan justifikasi supaya penyelesaian boleh dicapai bersama,” katanya.

Abdul Hakim turut menggesa kerajaan menubuhkan platform libat urus berstruktur atau mekanisme “sandbox” bagi menilai impak pelaksanaan secara terkawal dan berfasa.

“Ini penting untuk memastikan pelaksanaan akta ini lebih tersusun dan seimbang,” katanya. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

11 NGO DESAK RUU PEKERJA GIG DITANGGUH, DAKWA TIADA PERBINCANGAN MENYELURUH

https://malaysiagazette.com/2026/03/30/11-ngo-desak-ruu-pekerja-gig-ditangguh-dakwa-tiada-perbincangan-menyeluruh

Comments
* The email will not be published on the website.