26 Mar
26Mar

KUALA LUMPUR – Harga sayur-sayuran dijangka meningkat dalam tempoh satu hingga dua minggu susulan kenaikan kos pengeluaran, khususnya melibatkan bahan api dan baja.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, kenaikan harga itu boleh mencecah sehingga 50 peratus untuk tempoh singkat sebelum stabil sekitar 30 peratus.

Menurut beliau, peningkatan kos tersebut didorong oleh kenaikan harga diesel serta baja yang menjadi komponen penting dalam operasi pertanian termasuk penggunaan jentera, generator dan logistik.

“Buat masa ini, kos pengeluaran meningkat dengan cepat, namun harga di peringkat runcit masih belum menunjukkan pelarasan ketara,” memetik NST online.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa pengguna mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi kenaikan harga yang dijangka berlaku.

Beliau turut menggalakkan orang ramai memulakan penanaman kecil-kecilan di rumah menggunakan kaedah hidroponik bagi sayuran seperti bayam, kangkung dan sawi sebagai langkah menjimatkan kos.

“Pengguna mempunyai kuasa mempengaruhi harga. Jika mereka bijak membuat pilihan dan membandingkan harga, peniaga akan terdorong untuk menurunkan harga,” katanya lagi.

Selain itu, beliau mencadangkan institusi sekolah memanfaatkan kawasan sedia ada untuk projek hidroponik yang bukan sahaja dapat menampung keperluan makanan, malah boleh menjana pendapatan sampingan.

Terdahulu, laporan menyebut kenaikan kos bahan api susulan krisis berterusan di Asia Barat dijangka memberi kesan kepada harga barangan asas termasuk sayur-sayuran dalam negara.

Artikel oleh: Malaysia Tribune

HARGA SAYUR DIJANGKA NAIK HINGGA 50 PERATUS DALAM MASA TERDEKAT

https://malaysiatribune.news/harga-sayur-dijangka-naik-hingga-50-peratus-dalam-masa-terdekat/

Comments
* The email will not be published on the website.