18 Mar
18Mar

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan dakwaan siri `rompakan halus’ oleh syarikat telekomunikasi (telco) yang mengenakan caj tersembunyi serta menawarkan `pakej percuma’ sehingga menyebabkan pengguna terperangkap dengan bil mencecah ribuan ringgit.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, isu berkenaan bukan lagi terpencil sebaliknya disifatkan sebagai satu bentuk penindasan sistematik yang mengaut keuntungan besar daripada pengguna.

Menurutnya, antara taktik yang dikesan termasuk caj insurans dan perkhidmatan tambahan yang dikenakan tanpa pengetahuan jelas pelanggan sehingga syarikat mampu meraih keuntungan puluhan juta ringgit.

“Kita lihat caj insurans sahaja sudah memberi keuntungan besar kepada telco, tetapi pengguna pula terpaksa menanggung kerugian akibat caj berganda.

“Ini bukan lagi perniagaan biasa, sebaliknya seolah-olah skim untuk ‘menyembelih’ pelanggan secara senyap,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, Nadzim turut mendedahkan satu kes melibatkan seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa taktik `hadiah percuma’ oleh sebuah syarikat telco.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan ditawarkan talian telefon kononnya percuma sebagai penghargaan pelanggan setia dan dimaklumkan tiada tindakan diperlukan sekiranya tidak berminat.

Bagaimanapun, selepas setahun, beliau terkejut apabila disenarai hitam akibat tunggakan bil, dengan penyata menunjukkan caj RM100 sebulan dikenakan bagi talian yang tidak pernah diaktifkan.

Nadzim menyifatkan kejadian itu sebagai satu penganiayaan serius terhadap pengguna.

“Bagaimana talian yang tidak pernah digunakan boleh dikenakan bil bulanan sehingga menyebabkan mangsa disenarai hitam? Ini hutang yang tidak munasabah,” tegasnya.

Menurutnya, walaupun kes berkenaan berjaya diselesaikan selepas dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PPIM percaya masih ramai pengguna lain berdepan situasi sama tanpa disedari.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan denda mandatori tinggi terhadap telco yang terbukti mengenakan caj tersembunyi, melaksanakan audit menyeluruh ke atas sistem bil serta menghentikan amalan menyenarai hitam pengguna sebelum pertikaian diselesaikan.

Pada masa sama, Nadzim turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan sentiasa menyemak bil bulanan masing-masing.

“Jangan percaya bulat-bulat tawaran ‘percuma’. Periksa setiap caj dalam bil. Jika ada perkara meragukan walaupun kecil, pengguna perlu tampil mempertahankan hak mereka,” katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada syarikat telco agar menghentikan amalan berkenaan sebelum tindakan lebih tegas diambil demi melindungi kepentingan pengguna di negara ini. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PENGGUNA TERPERANGKAP, PPIM DAKWA TELCO KENAKAN CAJ TERSEMBUNYI

https://malaysiagazette.com/2026/03/18/pengguna-terperangkap-ppim-dakwa-telco-kenakan-caj-tersembunyi/

Comments
* The email will not be published on the website.