
BAZAR Ramadan menjadi peluang keemasan buat peniaga tempatan menjana pendapatan tambahan untuk menampung kos sara hidup.
Namun di sebalik kemeriahan itu, timbul kebimbangan berkitan isu makanan rosak yang masih menghantui bazar. Setiap tahun, ada sahaja kes tular memaparkan makanan yang dibeli untuk berbuka didakwa sudah rosak dan tercemar.
Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada budaya menjual makanan ‘semalam’ sudah dinormalisasikan demi mengelakkan kerugian. Baru-baru ini, terdapat beberapa kes makanan rosak, basi, malah dipenuhi ulat di bazar Ramadan seluruh negara.
Perkara itu tular di tular media sosial sekali gus mengundang kebimbangan ramai.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, trend pembaziran dan makanan rosak bukan sahaja menjejaskan kepentingan pengguna tetapi juga melanggar nilai Islam yang menekankan penghargaan terhadap rezeki.
Beliau menegaskan, masyarakat perlu melihat isu keselamatan makanan secara lebih luas, termasuk aspek moral dan syariah, bukan sekadar masalah teknikal.
Ramadan membabitkan disiplin, kesederhanaan dan sikap berjimat cermat. Namun, aduan tentang makanan yang tidak selamat atau basi menunjukkan kurangnya tanggungjawab yang perlu ditangani segera.
“Kita harus belajar menghargai dan bersyukur. Apa yang kita lakukan akan menjadi baik jika niat kita untuk mencari keredaan Allah SWT,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) dilaporkan turut mempergiat pemantauan bazar dengan menjalanlan pemeriksaan berkala dan pensampelan bagi memastikan makanan yang dijual selamat dimakan.
KKM menegaskan, tindakan boleh dikenakan di bawah Akta Makanan 1983 serta Peraturan-Peraturan Kebersihan amakanan 2009 yang membawa kepada denda, kompaun atau penutupan premis.
Berdasarkan aspek kesihatan, makanan yang terdedah lama pada suhu bilik mudah menjadi medium pembiakan bakteria dan golongan kanak-kanak serta warga emas berisiko mengalami komplikasi serius.
Justeru, sikap sambil lewa terhadap makanan tidak boleh dianggap perkara kecil di mana Islam menuntut konsep ‘halalan toyyiban’. Makanan yang rosak atau memudaratkan jelas bertentangan dengan prinsip tersebut.
Menurut bekas Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd. Noor, haram menjual makanan yang sudah rosak atau tidak berkualiti kerana ia satu bentuk penipuan dan boleh memudaratkan pembeli.
Beliau berkata, peniaga wajib berlaku jujur dan amanah, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Secara keseluruhan, isu menjual makanan yang telah rosak turut memberi kesan kepada peniaga lain yang berniaga secara jujur.
Bazar Ramadan sepatutnya menjadi simbol keberkatan dan kejujuran dalam mencari rezeki. Makanan ‘semalam’ atau lama yang tidak diurus dengan betul tidak wajar dinormalisasikan.
Artikel oleh: Kosmo
HARAM JUAL MAKANAN SUDAH ROSAK, TIDAK BERKUALITI
https://www.kosmo.com.my/2026/03/03/haram-jual-makanan-sudah-rosak-tidak-berkualiti/#google_vignette