27 Feb
27Feb

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) digesa mengambil tindakan tegas berikutan terdapat ramuan berasaskan babi di dalam snek popular dari Korea Selatan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan syarikat itu disifatkan satu pengkhianatan terhadap pengguna Muslim di negara ini.

"PPIM kesal dengan video yang tular di media sosial dan tindakan itu satu bentuk pengkhianatan pada Muslim.

"Pihak berwajib perlu mengambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 kepada mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna melalui pelabelan yang tidak tepat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu video tular di platform TikTok berdurasi seminit tujuh saat menerusi video oleh pengguna liafa62 mendedahkan produk snek Korea Selatan menyembunyikan ramuan haram pada label terjemahan bahasa Inggeris pada bungkusan berkenaan.

Produk yang dibeli di rangkaian kedai kesihatan didakwa tidak menyatakannya secara telus ramuan yang ada pada bungkusan.

Dalam pada itu, Nadzim berkata pengguna tidak hanya bergantung kepada label pelekat tambahan, sebaliknya menggunakan teknologi penterjemah untuk menyemak ramuan asal pada bungkusan.

"Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan bungkusan produk import yang menarik tanpa memastikan adanya sijil halal JAKIM yang sah, walaupun hanya makanan ringan.

"Pengguna boleh melaporkan mana-mana premis yang menjual produk meragukan bagi melindungi komuniti daripada termakan barangan haram," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

KPDN, JAKIM DIGESA AMBIL TINDAKAN, SNEK POPULAR KOREA SELATAN ADA RAMUAN BABI

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/02/1327406/kpdn-jakim-digesa-ambil-tindakan-snek-popular-korea-selatan-ada-ramuan-babi

Comments
* The email will not be published on the website.