27 Feb
27Feb

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penjualan snek popular dari Korea Selatan yang didakwa mengandungi ramuan berasaskan babi.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan berkata, produk ‘Olive Young Bagel Chips’ yang dijual secara terbuka di rangkaian farmasi tempatan didakwa mengandungi ramuan tidak halal.

Bagaimanapun, beliau berkata, label terjemahan bahasa Inggeris pada bungkusan produk tersebut tidak menyatakan dengan jelas kandungan berkenaan, seolah-olah cuba menyembunyikan maklumat sebenar daripada pengguna.

“Oleh itu, pihak persatuan menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna melalui pelabelan yang tidak tepat.

“Dalam pada itu, PPIM menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan bungkusan produk import yang menarik tanpa memastikan adanya sijil halal Jakim yang sah, walaupun produk tersebut sekadar snek atau makanan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nadzim berkata, pengguna turut diseru supaya tidak hanya bergantung kepada label pelekat tambahan dan menggunakan teknologi penterjemah untuk menyemak ramuan asal pada bungkusan.

Beliau berkata, pengguna juga haruslah melaporkan mana-mana premis yang menjual produk meragukan bagi melindungi komuniti daripada termakan barangan haram.

“Isu ini menjadi lebih serius apabila hasil semakan mendapati varian ‘Pizza’ secara jelas menyenaraikan daging babi dalam ramuan asal bahasa Korea manakala varian lain pula didapati diproses di kilang yang sama dengan produk berasaskan babi.

“Keadaan ini mendedahkan produk berkenaan kepada risiko pencemaran silang yang tinggi dan tidak sepatutnya diabaikan dalam label terjemahan,” katanya.

Difahamkan, pihak pengurusan farmasi berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. 

Artikel oleh: Utusan Malaysia

SIASAT PENJUALAN TERBUKA SNEK KOREA DISAKWA MENGANDUNGI BABI 

https://www.utusan.com.my/nasional/2026/02/siasat-penjualan-terbuka-snek-korea-didakwa-mengandungi-babi/

Comments
* The email will not be published on the website.