KUALA LUMPUR – Satu video tular di platform TikTok baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna Muslim selepas mendedahkan penemuan ramuan berasaskan babi dalam snek popular dari Korea Selatan yang dijual di sebuah rangkaian farmasi terkemuka.
Menerusi video oleh pengguna @liafa62, produk 'Olive Young Bagel Chips' yang dibeli di rangkaian kedai kesihatan didakwa mengandungi ramuan tidak halal, meskipun label terjemahan bahasa Inggeris pada bungkusan tersebut tidak menyatakannya secara telus.
Mengulas isu berkenaan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan@toqqi melahirkan rasa marah dan menyifatkan tindakan syarikat yang didakwa sengaja menyembunyikan ramuan haram sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada pengguna Muslim di negara ini.
Pihak persatuan menggesa pihak berkuasa termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 terhadap mana-mana pihak yang cuba mengelirukan pengguna melalui pelabelan yang tidak tepat.
Dalam pada itu, PPIM menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan bungkusan produk import yang menarik tanpa memastikan adanya sijil halal JAKIM yang sah, walaupun produk tersebut sekadar snek atau makanan ringan.
Pengguna turut diseru untuk tidak hanya bergantung kepada label pelekat tambahan, sebaliknya menggunakan teknologi penterjemah bagi menyemak ramuan asal pada bungkusan serta melaporkan mana-mana premis yang menjual produk meragukan bagi melindungi komuniti daripada termakan barangan haram.
Isu ini menjadi lebih serius apabila hasil semakan mendapati varian 'Pizza' secara jelas menyenaraikan daging babi dalam ramuan asal Korea, manakala varian lain pula didapati diproses di kilang yang sama dengan produk berasaskan babi.
Keadaan ini mendedahkan produk berkenaan kepada risiko pencemaran silang yang tinggi dan tidak sepatutnya diabaikan dalam label terjemahan.
Setakat ini, pihak pengurusan farmasi berkenaan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.